7 Sebab Kenapa Anda Perlu Menyimpan Emas

1. Emas ialah kekayaan manusia yang sebenar.
2. Harga emas meningkat dalam jangka masa panjang.
3. Kuasa beli emas stabil dalam jangka masa panjang.
4. Nilai duit kertas semakin menurun.
5. Emas adalah aset yang mudah dicairkan.
6. Emas tidak boleh dimanipulasikan oleh sesiapa pun.
7. Emas adalah magnet kekayaan.

Emas ialah kekayaan manusia yang sebenar.
Sejak manusia mengenali emas ia telah menjadi simbol kepada 4 perkara iaitu;
(1) symbol kekayaan,
(2) simbol kekuasaan,
(3) simbol kejayaan dan
(4) simbol kecantikan.

Untuk pengetahuan anda, emas telah digunakan sebagai duit sejak 2600 tahun yang lalu. Empayar Lydia (sekarang Turki) mengeluarkan syiling emas pertama dunia, dipanggil The Lydian Lion. Syiling emas ini ditempa oleh raja Alyattes. Sebelum Alyattes menjadi raja, sistem perdagangan ketika itu adalah berdasarkan sistem barter (bertukar barangan). Ini adalah proses yang menyulitkan kerana orang ramai terpaksa membawa barang-barang atau haiwan untuk ditukarkan kepada barang-barang lain. Bagi memudahkan urusan perdagangan raja Alyattes memperkenalkan syiling emas yang dipanggil The Lydian Lion. Kewujudan syiling emas ini ternyata memudahkan urusan perdagangan dan telah menjadi duit utama pada masa itu. Dengan kata lain, emas sudah diiktiraf sebagai simbol kekayaan sejak 2600 tahun dahulu. Jika anda memiliki banyak emas pada masa sekarang. Anda tetap dipanggil orang kaya!

Harga emas meningkat dalam jangka masa panjang
Menyimpan emas menguntungkan di dalam jangka masa panjang. Mari kita lihat graf harga emas untuk 10 tahun daripada tahun 1996 sehingga 2018. Daripada graf harga emas di bawah, dapat dirumuskan bahawa harga emas naik dan turun dalam jangka masa pendek, tetapi dalam jangka masa panjang, emas sentiasa dalam posisi menaik. Sebab itu, untuk jangka masa panjang, anda untung bila menyimpan emas. Di dalam jangka masa pendek , harga emas ada turun naiknya. Namun jika anda boleh menyimpan emas untuk jangka masa yang panjang maka kelebihan pasti berpihak kepada anda.

Emas mengekalkan kuasa belinya di dalam jangka masa panjang
Satu fakta menarik tentang emas ialah keupayannya mengekalkan kuasa belinya di dalam jangka masa panjang. Apa yang boleh dibeli oleh emas ratusan tahun yang lalu malah ribuan tahun dahulu tetap boleh dibeli dengan berat emas yang sama pada hari ini. Nilai emas yang stabil boleh dilihat melalui kuasa beli 1 dinar emas 1400 tahun yang lalu berbanding hari ini. Ketika zaman Rasulullah SAW 1400 tahun yang lalu, harga seekor kambing ialah 1 dinar emas. (dinar merujuk kepada syiling emas seberat 4.25 gram dengan ketulenan 916 (22 karat). 

Perkara ini ada diceritakan di dalam hadis Rasulullah SAW. Dilaporkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, daripada Urwah yang bermaksud:

“(Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w menemui sekumpulan binatang ternakan yang hendak dijual. Lalu Rasulullah s.a.w memberi kepada ku satu dinar dan berkata: “Wahai Urwah, pergi kepada lelaki tersebut dan belikan untuk ku seekor kambing.”

Aku pun pergi menemui lelaki tersebut dan melakukan tawar menawar sehingga aku dapat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar. Kemudian aku membawa kedua-dua ekor kambing tersebut. Di perjalanan, seorang lelaki menemui aku dan ingin membeli salah seekor kambing daripada ku. Lalu aku menjualnya dengan harga satu dinar. Kemudian aku berjumpa Rasulullah s.a.w dengan membawa seekor kambing dan satu dinar lalu aku berkata:

“Wahai Rasulullah, inilah dinar dan kambing milik mu.” Rasulullah bertanya: Bagaimanakah kamu melakukannya? Aku pun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan lalu Baginda berkata: “Ya Allah, berkatilah perniagaannya.”

Pada hari ini, boleh tak anda membeli seekor kambing dengan harga 1 dinar? Jawapannya.. ya boleh!

Nilai duit kertas jatuh di dalam jangka masa panjang
Salah satu kelemahan duit kertas adalah nilainya jatuh dalam jangka masa panjang. Kuasa beli duit kertas makin lama semakin menyusut. Dulu duit boleh beli banyak barang. Sekarang duit yang sama boleh beli sedikit saja barang. Anda akan mendapati kuasa beli duit kertas semakin mengecil akibat inflasi Lihat kuasa beli duit kita pada tahun 2005 berbanding sekarang. Dahulu roti canai harganya 50 sen dan saiznya besar. Sekarang harga roti canai RM1.20 sen tapi saiznya makin mengecil. Dengan kata lain kuasa beli Ringgit Malaysia semakin lama semakin kecil. Sebab itulah, untuk simpanan jangka masa panjang, emas adalah simpanan terbaik.

Emas adalah aset yang sangat cair.
Ia boleh ditukarkan menjadi tunai dengan cepat
Jika anda perlukan duit tunai segera tanpa perlu menjual emas, maka anda boleh menggunakan kemudahan pajak gadai Islam Ar-Rahnu.Terdapat banyak institusi Arrahnu di Malaysia yang menyediakan kemudahan gadaian emas. Contohnya Ar-Rahnu POS, Ar-Rahnu Bank Rakyat, Ar-Rahnu Yapeim, Ar-Rahnu Agrobank, Ar-Rahnu Koperasi Tentera, Ar-Rahn Permodalan Kelantan Berhad dan seumpamanya.

Ar-Rahnu memberikan pinjaman antara 75% sehingga 80% daripada nilai emas anda. Nilai pinjaman ini pula dikira berdasarkan kepada harga emas semasa. Kombinasi emas dan Ar-Rahnu sangat membantu peniaga-peniaga yang memerlukan pusingan modal. Mereka tidak perlu membuat pinjaman bank. Mereka boleh menggunakan emas yang disimpan sebagai cagaran pinjaman di Ar-Rahnu. Dengan kata lain, penyimpan emas bukan sekadar menikmati kenaikan harga emas di dalam jangka masa panjang. Anda boleh menggunakan emas tersebut jika terdesak
memerlukan duit tunai.

Kuantiti emas tidak boleh dimanipulasikan
Kuantiti emas tidak boleh dimanipulasikan oleh sesiapa. Emas perlu dicari, dilombong, ditulenkan dan dibentuk. Ianya proses yang sukar. Ini berbeza sekali dengan duit kertas. Duit kertas boleh dicetak sesuka hati oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab Apabila duit kertas dicetak terlalu banyak, maka nilai duit kertas akan jatuh. Apabila nilai duit kertas merosot terlalu banyak, ia akan mengakibatkan hyperinflasi dan akhirnya duit kertas tersebut akan terus ditolak oleh rakyat. Penggunaan duit fiat membolehkan kerajaan menguasai kekayaan negara dan memanipulasikan kekayaan negara. Kerajaan boleh menggunakan akta-akta bagi mengiktiraf kertas/syiling sebagai duit yang sah. Kerajaan juga boleh menarik balik pengiktirafan tersebut sehingga menyebabkan duit tersebut tidak boleh digunapaka.

Di antara kisah kegagalan duit kertas yang pernah berlaku di dalam sejarah ialah:

Kerajaan Perancis –tahun 1715
Republik Weimer Jerman – 1922-1923
Hungary 1945-1946
Chile 1971-1981
Peru 1988-1991
Angola 1991 – 1999
Yugoslavia 1992-1995
Belarus 1994-2002
Kerajaan Mexico – pada tahun 1994
Kerajaan Argentina – pada tahun 2001
Zimbabwe 2000 sehingga sekarang.

Anda boleh membaca sebahagian daripada kisah kegagalan yang kertas di dalam web
berikut: http://www.investopedia.com/slide-show/5-failed-currencies-why-they-crashed/

Emas adalah magnet kekayaan
Ini adalah rahsia emas yang terbesar. Emas itu adalah magnet kekayaan. Menyimpan emas ibarat menarik kekayaan datang kepada kita. Pst! Nak kaya tak? Nah ambil rahsia pertama kekayaan iaitu:

“Spend less than you earn” atau dalam Bahasa Melayu, perbelanjaan mesti kurang daripada pendapatan. Wah! Senang ajer kan formula nie? Jika pendapatan lebih besar dari perbelanjaan = Anda semakin kaya

Jika perbelanjaan lebih besar dari pendapatan = Anda semakin miskin “Untuk kaya, pastikan duit anda tidak bocor” “Anda akan cepat miskin jika duit anda mudah bocor”

Kenapa duit kita boleh bocor? Berdasarkan kajian saya, terdapat 3 punca utama kebocoran duit.

1. Seronok belanja.
2. Tersalah melabur (biasanya di dalam skim cepat kaya)
3. Orang pinjam duit (tapi ehem.. ehem.. tak tahu bayar)

Kesimpulannya
Berhati-hati dengan 3 penyebab kebocoran yang terbesar iaitu nafsu berbelanja, tersalah melabur dan orang pinjam duit. OK, sekarang anda bertanya ‘Macammana nak elakkan duit dari bocor?’ Ini jawapannya: ‘Tukar duit anda ke dalam bentuk emas kerana 3 sebab;

1. Fitrah manusia suka dengan emas sebab emas ada aura tersendiri. Sebabtu perempuan suka emas perhiasan.
2. Fitrah manusia suka mengumpul emas sebagai koleksi tersendiri dan bukannya untuk dijual.
3. Fitrah manusia tidak akan tergamak nak pinjam emas dari kita. Selalu orang hanya pinjam duit sahaja.


kredit kepada : Muhammad Muhaimin bin Mohd Isa