Akaun Pelaburan Emas atau Emas Fizikal?

Akaun Pelaburan Emas atau Emas Fizikal?

You are currently viewing Akaun Pelaburan Emas atau Emas Fizikal?

Banyak orang baru yang nak beli emas, tapi bimbang nak simpan di mana. Kalau simpan duit dalam Akaun Pelaburan Emas di bank, tak perlu pegang emas dan selamat dari risiko kecurian.

Jadi adakah lebih baik melabur dalam Gold Investment Account (GIA) di bank berbanding beli emas fizikal?

Ini antara persoalan orang baru berjinak dengan emas tanya saya.

Kalau tanya saya dan mereka yang pakar tentang emas (dan logam berharga), majoriti mereka syorkan beli emas fizikal samada berbentuk gold bar atau syiling emas (termasuk dinar).

Beli emas dapat emas. Emas itu ada di tangan kita, dan kita simpan sendiri.

Sedangkan kebanyakkan Akaun Pelaburan Emas ataupun Emas Digital, beli emas tapi cuma dapat nombor dan kertas sahaja.

Pada saya, kalau beli emas macam tu, lebih baik labur dalam saham atau simpan sahaja duit dalam Tabung Haji. Beli emas dengan cara begitu, kita tak dapat ‘kuasa’ sebenar yang ada pada emas – yang membuatkan penyimpannya bertambah kaya.

Cara Simpan Emas Dengan Selamat

Untuk pastikan emas itu selamat dari risiko kehilangan atau dicuri, ikut sahaja panduan yang saya cadangkan dalam artikel “Cara Simpan Emas Dengan Selamat”.

Bagi penyimpan emas Public Gold, kalau tak tahu di mana nak simpan, boleh sahaja simpan dengan Public Gold secara percuma melalui Akaun Emas yang dinamakan “Gold Accumulation Program (GAP)“;

  • Boleh beli dan simpan emas secara percuma sekecil item 1 gram.
  • Boleh beli dan jual semula secara online kepada Public Gold.
  • Kalau nak dapatkan emas fizikal dan simpan sendiri, bayar sahaja caj premium dan GIT (gold-in-transit), tak sampai seminggu emas itu nanti sudah ada di tangan anda, insyaAllah.

Kelebihan Emas Fizikal

Ada tujuh (7) sebab kenapa saya dan pakar pelaburan emas cadangkan simpan emas fizikal berbanding Gold Investment Account (GIA) atau Emas Digital (beli emas tak dapat emas);

  1. Peluang ‘rolling’ duit untuk bisnes (juga pelaburan lain, atau keperluan mendesak);
  2. Peluang jana keuntungan bila harga jatuh
  3. Jumlah simpanan emas cepat bertambah
  4. Urusan dan waktu jual beli lebih fleksible
  5. Selamat dari risiko dibekukan oleh bank
  6. Selamat dari risiko bencana kewangan
  7. Simpanan emas patuh syariah

#1 – Peluang ‘Rolling’ Duit Untuk Bisnes

Ada emas, maksudnya ada duit.

Bila ada emas di tangan sendiri, duit kita tak beku macam pelaburan lain.

Kita boleh pajak sahaja emas itu untuk dapatkan PINJAMAN SEGERA daripada ar-rahnu pada bila-bila masa kita perlukan duit tunai. Tak perlu tunjuk slip gaji pun, cuma serahkan emas itu sahaja sebagai cagaran.

Boleh baca artikel “Cara Pajak Emas Di Ar-Rahnu” untuk faham secara terperinci cara dapatkan pinjaman bercagarkan emas di ar-rahnu.

Walaupun ia digadai, emas itu tetap milik kita. Kalau harga emas naik, kita boleh nikmati kenaikan harga itu walaupun emas tu masih di dalam simpanan ar-rahnu.

Bagi yang berniaga sendiri, dia boleh manfaatkan pinjaman tu untuk pusing modal bisnes. Bila dapat ‘projek’ yang menguntungkan, pajak sahaja emas itu untuk dapatkan pinjaman.

Lepas selesai urusniaga, tebus balik emas itu secepat mungkin supaya jimat dari membayar caj pinjaman ar-rahnu berlebihan – yang dikira secara bulanan. Hasil keuntungan bisnes itu boleh cover untuk bayar kos pinjaman sekitar 1.15% sebulan.

Sebenarnya bukan sekadar rolling bisnes, duit pinjaman itu juga boleh di gunakan sebagai wang deposit membeli hartanah yang boleh dapat cashback, ataupun apa sahaja keperluan mendesak yang kita mampu bayar balik dalam masa 6 – 12 bulan.

Kelebihan ini memang tak ada pada GIA ataupun emas digital.


Akaun Pelaburan Emas atau emas digital lebih kurang sama saja dengan simpan duit dalam akaun bank. Yang kita ada cuma nombor dan kertas sahaja. Ia berbeza berbanding emas fizikal.

#2 – Peluang Jana Keuntungan Ketika Harga Jatuh

Harga emas tak sentiasa naik. Ada ketikanya ia jatuh dan waktu kejatuhan itu ambil masa sampai beberapa tahun.

Bagi yang melabur dalam GIA atau Emas Digital, dia tak boleh buat apa-apa melainkan hanya melopong dan gigit jari sahaja. Yang dia ada cuma nombor dan kertas sahaja.

Penyimpan Akaun Pelaburan Emas (dan emas digital) ‘terperangkap’ dengan kejatuhan harga emas 2013 tetapi pemilik emas fizikal masih boleh ‘rolling’ emas mereka.

Berbeza yang ada emas di tangan.

Dia boleh pajak emas di tangan untuk beli lagi stok emas ketika harga rendah. Lagi banyak harga emas itu jatuh, peluang dia mendapat keuntungan adalah lebih tinggi.

Walaupun begitu, ia tetap ada risiko. Jangan suka-suka gunakan teknik ini, melainkan anda sudah faham 5 tip penting yang saya tulis dalam artikel “5 Tips Manipulasi Ar-Rahnu Cara Selamat”.

Bagi penyimpan emas Public Gold, anda boleh ambil peluang beli secara EPP (Easy Payment Purchase). Kaedah ini ibaratnya beli emas pada masa depan dengan harga hari ini!

Ketika habis bayar dalam masa 6 – 10 bulan akan datang (dan dapat emas di tangan), boleh jadi harga emas sudah pun naik dan menguntungkan (kalau dijual)!

#3 – Jumlah Simpanan Cepat Bertambah

Emas adalah magnet kekayaan. Tuhan jadikan emas itu sangat cantik pada pandangan manusia. Bila pegang emas itu, auranya terasa lain macam. Lagi besar kepingan emas itu, lagi kuat auranya.

Kita akan mula ketagih untuk belinya lagi dan lagi. Sampai habis duit simpanan digunakan untuk beli emas!

Itulah feedback yang selalu saya terima daripada majoriti penyimpan emas. Mereka beli emas sampai kering duit simpanan.

Walaupun begitu, mereka tak bimbang sebab bila ada emas (di tangan), maksudnya mereka ada duit. Cuma duit itu dalam bentuk yang lebih kukuh nilainya dan duit itu kalis bocor!

Manfaat terbesar mereka yang menyimpan emas bukanlah sangat tentang berapa peratus mereka dapat keuntungan, tetapi yang lebih penting duit simpanan mereka tak bocor.

Dengan menyimpan emas, mereka berjaya selesaikan salah satu masalah terbesar kewangan mereka, iaitu “sudah bekerja bertahun-tahun tapi duit simpanan 3 bulan gaji pun belum ada”!

Manfaat begini tidak akan dirasai oleh pelabur emas GIA atau emas digital.

 
 

#4 – Urusan dan Waktu Jual Beli Lebih Fleksible

Bagi Akaun Emas GIA atau Emas Digital, kita hanya boleh jual di platform di mana kita beli, dan pada waktu atau tempat yang ditetapkan sahaja.

Waktu pembayaran untuk dapatkan duit tunai (bila jual emas) juga tertakluk kepada terma dan syarat platform tersebut.

Ia berbeza dengan emas fizikal.

Bila emas ada di tangan, kita boleh jual kepada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, dan di mana-mana sahaja seluruh dunia.

Tidak ada istilah hari cuti atau waktu pejabat.

Kalau terdesak nak pakai duit pada waktu malam atau hujung minggu, kita boleh jual kepada mana-mana pembeli individu.

Saya selalu sarankan kepada penyimpan emas supaya jangan simpan emas seorang diri. Ceritakan manfaat simpanan emas kepada ahli keluarga dan kenalan terdekat. Kalau anda ada “komuniti penyimpan emas” sendiri, lebih mudah untuk anda berjual-beli sesama sendiri.

Ahli keluarga saya selalunya akan jual emas kepada saya kalau mereka terdesak nak pakai duit. Urusannya akan jauh lebih mudah.

Supaya urusan anda jadi mudah, pastikan simpan emas yang item dan jenamanya diterima meluas para penyimpan emas.

Walaupun sama berat dan sama ketulenan, tetapi penerimaan pembeli individu dan institusi ar-rahnu berbeza antara jenama emas. Ada jenama emas yang telahpun disenarai-hitamkan oleh BNM.

Kalau di Malaysia, saya boleh katakan emas fizikal yang paling diterima meluas ialah emas jenama Public Gold. Berdasarkan permerhatian saya pada tahun 2022, lebih kurang 70% penyimpan emas di Malaysia lebih gemar jenama Public Gold berbanding yang lain.

Selain ia adalah jenama emas yang paling diterima meluas oleh penyimpan emas individu dan institusi ar-rahnu di Malaysia, anda juga boleh booking harga 24 jam sehari samada nak beli atau nak jual balik.

Bila nak jual balik, boleh jual di mana-mana branch Public Gold (tapi tertakluk waktu pejabat). Atau jual kepada dealer Public Gold aktif yang terdekat, 24 jam sehari dan boleh dapat duit on-the-spot. Tak perlu tunggu office Public Gold buka baru boleh jual.

Cuma kena hati-hati. Hampir setiap bulan ada sahaja berita orang kena tipu dengan penjual emas individu! Itulah pentingnya kena ada “komuniti penyimpan emas” sendiri.

#5 – Selamat Dari Dibekukan oleh Pihak Bank

Akaun Emas GIA atau Emas Digital, ia bukan di bawah kawalan kita. Ia kawalan pemilik platform yang selalunya adalah pihak bank atau institusi kewangan.

Bagi mereka yang muflis atau terpalit dengan rekod buruk dengan mana-mana institusi kewangan, akaun emas itu boleh dibekukan pada bila-bila masa. Walaupun emas tersebut memang milik kita, tapi ia bukan dalam kawalan kita!

Dan ini juga pernah terjadi kepada saya di mana akaun-akaun bank saya dibekukan (dan ada yang ditutup), bahkan Akaun Emas GAP Public Gold saya juga turut dibekukan selama lebih 2 tahun kerana saya dituduh menyalurkan dana kepada pengganas (dan dipenjarakan), walhal itu cuma sedekah bernilai RM200 kepada kenalan lama saya yang sedang dalam kesusahan!

Walaupun saya yakin saya tak bersalah, tetapi duit saya dalam akaun bank habis dibekukan dan Akaun Emas GAP saya juga tak dapat dikeluarkan!

Yang menyelamatkan isteri dan anak-anak saya untuk teruskan kehidupan ketika itu hanyalah simpanan emas fizikal yang kami simpan sendiri dalam safe deposit box. Yang lain, habis kesemuanya!

Jadi berdasarkan pengalaman ini, saya belajar sesuatu yang mahal; emas yang terbaik ialah emas yang berada di tangan kita sendiri – 100% di bawah kawalan kita sendiri.

#6 – Selamat Dari Bencana Kewangan

Di dunia ini, tidak ada jaminan yang terjamin.

Kita boleh bankrup, dan bank juga boleh bankrup!

Kalau anda fikir simpanan di bank adalah terjamin, anda silap. Hampir setiap tahun, bacalah berita apa yang terjadi di banyak negara di dunia.

Bila terjadinya krisis kewangan atau ekonomi sesebuah negara, duit di dalam akaun bank pun tak boleh dikeluarkan ataupun dicatu pengeluarannya. Begitulah juga dengan Akaun Pelaburan Emas ataupun Emas Digital.

Anda boleh baca apa yang terjadi kepada bank di Greece pada tahun 2015 dalam artikel saya “Cara Manfaatkan Duit Bank Untuk Kaya”.

Mungkin ada yang tanya, bukankah simpanan kita di bank dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)?

Jawapannya, BETUL, tapi ia hanya untuk duit simpanan saja. Akaun Emas di bank tidak dilindungi oleh PIDM!

Bahkan kalau berlaku krisis, syarikat insuran juga boleh bankrup dan ‘bungkus’!

Ini salah satu terma yang jarang orang semak sebelum buka Akaun Pelaburan Emas di bank.

#7 – Simpanan Emas Patuh Syariah

Beli emas mesti dapat emas. Kalau beli emas tak dapat emas, sah-sah ada masalah dari sudut syariah.

Tapi ada juga akaun emas yang disahkan patuh syariah, tapi kalau nak keluarkan emas fizikal, kos yang terpaksa dikeluarkan oleh pembeli akan jadi sangat mahal dan prosesnya juga merumitkan.

Jadi walaupun akaun emas begitu disahkan patuh syariah, kita tetap tak dapat manfaat sebenar sebagaimana simpanan emas fizikal.

Kalau nak beli emas melalui “akaun emas”, kena pertimbangkan “5 Kriteria Penting Memilih Emas Pelaburan” terlebih dahulu.


Please enable JavaScript in your browser to complete this form.